Move on...
Okay tajuk ni memang tajuk yang agak mencabar.. Tapi takpe, aku cuba la eh tulis satu entri.
Aku nak cerita pasal keluarga aku sebelah Mama.
Saat kejadian ini berlaku, aku berada di tingkatan satu. Dalam perhimpunan pagi Isnin, namaku disebut oleh seorang ustaz mengatakan ibubapaku sedang menunggu di luar dewan. Aku dengan muka seposennya, terus melawan arus pelajar-pelajar yang lain menuju ke pintu dewan. Sebaik sahaja keluar, aku tercari-cari kelibat ibubapaku, rupa-rupanya mereka sedang berada di tepi kantin sekolah, dan paling aku terkejut, Mama sedang menangis teresak-esak. Mula lah fikiran aku merenoka idea-idea apakah sebabnya Mama berkelakuan sedemikian. Pabila keizinan dimiliki, aku dibawa pergi sehelai sepinggang balik ke rumah.
Aku ingatkan balik ke rumah, rupa-rupanya kami menuju ke kampung sepupu aku, kakak aku memberitahu aku begitu. Rupa-rupanya salah satu sangkaan aku tadi mengena. Adik kepada Mama bersama suaminya serta anak bongsu mereka telah meninggal dunia dalam satu kemalangan. Sebaik sahaja sampai di kampung mereka, aku dengan baju sekolahnya terus dibawa ke bilik mandi jenazah, aku dihadiahkan sebuah gayung yang berisi air bersih lalu aku disuruh memandikan Mak Ngah dan Pak Ngah. Aku terlalu terharu pada masa itu kerana aku dapat berjasa kepada mereka buat kali yang terakhir. Mereka lah tempat Mama mengadu saat kesusahan dan juga tempat Mama berkongsi kesukaan. Aku dapat rasakan betapa Mama terlalu terkesan dengan kehilangan adik kesayangannya ini. Macam mana pulak dengan anak-anaknya yang masih belajar semuanya. Semua persoalan itu bagai menusuk jiwaku yang masih terlalu muda ketika itu.
Selesai segala urusan pengkebumian, aku balik ke rumah. Aku dapat lihat dalam mata anak-anak mereka betapa terkesannya mereka. Ada riak wajah sedih dan ada juga riak wajah lain yang tak dapat aku tafsirkan apakah maksudnya, maklumlah, baru form one kut..
Aku pun terus pulang ke sekolah dan menjalani hari-hari persekolahan seperti biasa.
Sehingga sekarang anak-anak mereka terus berjuang demi sesuap nasi di mulut. Aku sangat kagum akan kekuatan rohani mereka yang aku tahu tersangat rindukan kasih sayang ibubapa dan juga adik bongsu mereka. Aku berdoa pada Allah, tempatkanlah roh-roh keluargaku di tempat yang mulia di sisiMU..
Yang sudah terjadi tu, biarkanlah. Allah lebih menyayangi mereka. Kita perlu teruskan kehidupan di dunia sementara ini, untuk mencapai redho Ilahi, kerana kehidupan di akhirat kelak kekal abadi.
Itu sahaja yang dapat aku kongsikan pada entri kali ini. Maaf kerana telah menggangu emosi anda. Satu sahaja nasihat saya, yang juga macam nasihat orang lain, hargailah orang yang tersayang.
Assalamu'alaikum dan selamat sejahtera. Sampai ketemu lagi.

.jpg)
No comments:
Post a Comment